Diatas adalah maklumat am yang dipetik dari laman 1Malaysia.Usaha memahamkan rakyat tentang konsep 1 Malaysia secara berterusan membuatkan kawe mula rasa bosan dan bingung dengan intipatinya. Permulaan web ini memaparkan aluan kepada pengunjung dalam 3 bahasa. Pertama Bahasa Malaysia, English dan Cina Mandarin.
Ini kali kedua kawe mempertikaikan soal laman aluan ini dimana konsep 1 Malaysia dah jadi 3 Malaysia. Perkara utama untuk menjadi rakyat Malaysia ialah memahami dan menguasai Bahasa Malaysia dengan baik. Konsep 1 Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia dan bukan untuk negara lain. Maka apakah wajar bahasa Cina dijadikan pilihan dalam web 1 Malaysia.
Dimana keseimbangan yang dicari dalam 1 Malaysia ? Kalau dikira pada kedudukan Melayu vs Cina ialah 2-3. Melayu kalah kerana bahasa Cina bukan bahasa harian orang Melayu. Cina pula menang kerana mereka menguasai ketiga-tiga bahasa tersebut.
Usah bicara soal kamu bangsa apa, agama apa ? Apa aliran politik kamu ? Jangan dibincangkan lagi. Cukup sekadar soal bahasa. Dengan 1Bahasa kita boleh berpadu. Ambil ayat terakhir dalam perenggan pertama iaitu saling memahami. Bagaimana mahu saling memahami sekiranya asas untuk kesefahaman tidak dibentuk dan diubah agar ianya tidak menwujudkan konflik, kontroversi atau dengan lebih tepat perpecahan. Kita mahu berpadu dengan konsep 1Malaysia.
Kalau kita tunduk dengan permainan politik maka tergadailah bahasa Malaysia dalam pelbagai sektor. Kalau Jepun bangga dengan bahasa Jepun dan tulisan Kanjinya maka kenapa kita sebagai rakyat Malaysia tidak bangga dengan ketuanan Bahasa Melayu di tanahair kita sendiri.
Bukankah bahasa Cina berasal dari tanah besar Cina. Maka rakyatnya menggunakan bahasa Cina tanpa mengira etnik dan kenapa kita tidak mahu menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa lingua franca (bahasa perdagangan). Kita galakkan penguasaan pelbagai bahasa dikalangan rakyat kita tetapi yang diutamakan perlulah Bahasa Malaysia.
Rakyat kita boleh memahami bahasa Inggeris. Setakat ini tidak pernah kedengaran pelancong asing tidak mahu datang ke Malaysia kerana masalah komunikasi. Malah mereka sendiri membeli kamus dwibahasa untuk mempelajari bahasa kita. Kenapa kita harus malu dengan Bahasa Malaysia ? Jika enggan bercakap Bahasa Malaysia maka kita perlu lucutkan kewarganegaraannya.
Menerap jiwa Malaysia dalam sanubari rakyat perlu diutamakan. Jika ditanya siapa kamu maka kita menjawab kita orang Malaysia. Kami bangga dengan Malaysia dimana pelbagai kaum hidup aman damai dalam semangat harmoni. Tapi itu semua gimik yang ditunjukkan dalam media sekadar mengaburi hakikat sebenar.
Perlu diingat..kawe bukan anti cina atau bersifat perkauman. Kawe menekankan soal kesepaduan antara rakyat. Biar rakyat hidup dengan jati diri sebagai rakyat yang bersatu. Jika ini gagal dilaksanakan, lupakan sahaja 1 Malaysia.
1 Malaysia – Satu Malaysia – kalau dalam bahasa Inggeris One Malaysia. Kalau salah dengar akan jadi Wang Malaysia. Adakah wang Malaysia yang diinginkan…?


0 comments:
Post a Comment