Rakyat Kelantan sama seperti rakyat Malaysia yang lain yakni ada yang cerdik, bodoh, baik, jahat, zalim, alim, kaya, miskin dan sebagainya. Namun majoriti rakyat Kelantan menolak Barisan Nasional aka UMNO selama 21 tahun bermula 1990 setelah 12 tahun melihat ketidakupayaan BN mentadbir Kelantan sebelum itu.
Setiap kali Pilihanraya Umum berlangsung maka setiap kali itulah UMNO melaungkan keyakinan dapat merampas kembali Kelantan dari Kerajaan PAS. Pelbagai usaha mereka lakukan untuk memastikan kerajaan PAS Kelantan jatuh ketangan mereka namun setiap kali itulah mereka gagal menterjemahkan peluang yang ada dengan baik.
Mengapa UMNO tidak mahu belajar dari pengalaman lalu ? Apakah mereka tidak sedar akan kelemahan yang ada pada mereka dan tidak mahu berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan itu ? Antaranya mereka tidak sedar betapa keburukan mereka sudah menjadi karat yang sukar untuk dikikis dari hati perut mereka sehingga mereka rasa mereka kelihatan bersinar dan melihat musuh mereka seolah semakin lemah dan senang diratah yang akhirnya mereka dimakan oleh kerakusan mereka sendiri.
PAS bukanlah parti yang sempurna seperti sempurnanya Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW tapi wadah perjuangan PAS adalah untuk memperjuangkan Islam sedaya yang mampu. Orang PAS pun ada bermacam jenis. Mereka bukanlah terdiri daripada para wali semuanya. Sudah tentu ada yang melakukan kesalahan/kesilapan. Sebab itu jemaah PAS tidak memberi ruang kepada mereka yang melakukan kesalahan dan keburukan setelah terbukit mereka bersalh. Sifat ini tidak diamalkan dalam UMNO. Malah semakin buruk prestasi seseorang itu maka semakin disimpan mereka ini tanpa sebarang tindakan. Kalau ada yang dikenakan tindakan pun hanya anak2 bilis sahaja manakala jerung dibiarkan membaham mangsanya.
UMNO Ketereh dilihat masih mempertahankan liabiliti utamanya untuk terus kekal menjadi calon pada PRU akan datang. Biarpun hebat menjelmakan status tinggi buat pasukan bolasepak Kelantan atau The Red Warriors namun bintang politik Tan Sri Anuar Musa (TSAM) semakin samar dan malap. Kredibiliti TSAM sudah sukar untuk diterjemahkan atau digilap lantaran dek isu panas berpanjangan dalam karier politiknya. Apatah lagi kebangkitan mendadak sahabat baiknya yang dilihat oleh musuh sebagai hang jebat yang akan menerjah hang tuah dengan cubaan menikam belakang. Datuk Haji Alwi (haji luwi) bersemangat untuk menjadi pemenang dalam pertarungan ini kerana dia dilihat calon yang berkelayakan untuk mengulangi pertarungan di Parlimen Ketereh seperti mana haji luwi memenanginya pada 2004.
Angkara dipindahkan ke kerusi DUN Kok Lanas pada 2008 dan dikatakan mensabotaj TSAM yang bertanding di Parlimen Ketereh, haji luwi dikatakan memasang pelbagai strategi daripada membenarkan TSAM terus bertanding di Parlimen Ketereh. Sebagai Ketua Penerangan UMNO Kelantan haji luwi juga mempunyai akses kepada gerakan 'bawah tanah' bagi meningkatkan populariti Awang Adek selaku seteru utamanya yang dikatakan tidak berapa 'berahi' kepada TSAM.
Tapi haji luwi kena ingat kepada peranan orang utama dalam kerajaan BN ketika ini yang mana 'orang utama' ini adalah sahabat baik kepada orang utama TSAM. Ini adalah senjata utama TSAM bagi menaikkan balik reputasi politiknya kerana TSAM dikatakan memasang angan-angan jika menang kerusi Parlimen Ketereh dan BN masih berkuasa kemungkinan besar dia akan dilantik kejawatan kabinet terutama selaku Menteri Belia dan Sukan. Ini tidak mustahil kerana kredibiliti TSAM dalam bidang sukan benar-benar berada di prestasi terbaik ketika ini.
Sebab itu haji luwi dikatakan tidak duduk diam dalam menyusun perancangannya. Maka sebagai rakyat Ketereh sudah tentu permainan ini akan ada kemuncaknya dan kita pasti akan melihat siapa yang akan menang dalam pertarungan ini atau mungkin kali ini tidak ada siapa yang menang kerana yang menang adalah pihak yang sebaliknya...insyallah
0 comments:
Post a Comment